Part 1


Melangkah ke IPT (Bahagian 1)
[ Part 1 | Part 2 | ]

Oleh Hj Samsudin Abdullah
Pesyarah Kanan Matematik

Assalamua'alaikumw.w.

SKOP DAN FAKTOR PEMILIHAN

Keputusan SPM 2002 telah diketahui. Pelajar bersama ibu bapa tentu sedang sibuk mencari maklumat bagi membuat pilihan ke IPT/matrikulasi. Perlu diingatkan bahawa keputusan yang baru didapati itu sekadar tiket untuk pelajar mendapat tempat di IPT/matrikulasi. Bagi yang mendapat cemerlang jangan terlalu seronok dan yang mendapat sederhana jangan terlalu kecewa. Pencapaian di IPT/matrikulasi nanti lebih penting daripada keputusan SPM.

Empat faktor asas terlibat dalam membuat keputusan ini. Pertama: minat dan kebolehan. Kedua: maklumat yang berkaitan dengan IPT serta kursus yang sesuai. Ketiga: peluang tajaan (biasiswa/pinjaman). Keempat: kebolehan membuat keputusan dengan tegas serta profesional berdasarkan tiga faktor itu sahaja, tidak dipengaruhi emosi (misalnya pengaruh kawan) dan lain-lain.

Maksud "maklumat yang berkaitan dengan IPT serta kursus yang sesuai" tidak sahaja bermaksud maklumat rasmi yang terdapat dalam buku UPU tetapi perlu ditambah dengan maklumat tidak rasmi daripada IPT yang diminati. Ini perlu sebab syarat yang tercatat dalam buku-buku panduan hanya kelayakan minimum sahaja, bukan kelayakan sebenar pelajar boleh mendapat tempat. Disebabkan persaingan, seringkali kelayakan sebenar pelajar boleh mendapat tempat ini lebih tinggi daripada kelayakan minimum. Sebagai contoh kelayakan sebenar bagi mendapat tempat matrikulasi perubatan UIA lebih tinggi daripada kelayakan minimum yang ditetapkan.

Jika anak anda telah menyatakan minatnya untuk mengikuti sesuatu kursus di sesuatu IPT, selain maklumat rasmi UPU dan daripada laman web IPT berkenaan, eloklah cari maklumat daripada staf akademik atau pegawai yang merancang kurus berkenaan. Staf ini biasanya mengetahui maklumat lebih terperinci tentang kursus berkenaan, termasuk peluang mendapat tempat, peluang mendapat tajaan, kurikulum serta silabusnya, maklumat para pensyarah, peralatan makmal, sistem pengajaran-pembelajaran, sistem komputer, dan sebagainya.

Wallahua'alam. Sekian.

Part 2


[ Part 1 | Part 2 | ]

Assalamua'alaikumw.w.

KELEBIHAN MATRIKULASI/ASASI

Kita maklum walaupun kebanyakan IPT mengambil pelajar lepasan matrikulasi/asasi/STPM, tetapi terdapat IPT yang mengambil lepasan SPM, terutama untuk program diploma. Bagaimanapun, pemilihan kursus diploma hanya wajar jika calon tidak layak ke matrikulasi/asasi.

Terdapat dua jenis matrikulasi: matrikulasi/asasi Kementerian Pendidikan (KP) dan matrikulasi UIA. Tidak sukar mendapat tempat ke matrikulasi/asasi KP; cuma perlu lulus Matematik Tambahan dan beberapa mata pelajaran mengikut bidang -- sains atau perakaunan.

Program matrikulasi KP sesuai bagi pelajar yang belum dapat membuat keputusan bidang sebenar yang ingin diceburi -- kejuruteraan, sains, perubatan atau sebagainya. Membuat keputusan terlalu awal kadang-kadang mengakibatkan penyesalan.

Sebenarnya SPM merupakan peperiksan paling mencabar kerana banyak mata pelajaran yang perlu diambil dan pelbagai jenis. Misalnya pelajar sains terpaksa mengambil Sejarah walaupun tidak diminatinya. Pada peringkat matrikulasi pelajar hanya perlu mengambil lebih kurang separuh mata pelajaran SPM dan mengikut aliran yang diminatinya sahaja. Walaupun mereka perlu mengambil mata pelajaran umum seperti English, komputer dan sebaginya, keputusan mata pelajaran ini tidak diambilkira dalam pengiraan CGPA. Inilah sebabnya terdapat ramai pelajar yang sederhana keputusan SPM-nya tetapi cemerlang pada matrikulasi, terutama pelajar yang datang daripada sekolah yang serba kekurangan.

Kita maklum setengah-setengah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang pada SPM berpeluang mendapat tajaan kerajaan atau badan swasta. Ramai pelajar Sekolah Berasarama Penuh (SBP) dan MRSM mendapat tawaran ini. Peluang begini terbuka sekali lagi selepas matrikulasi. Pelajar cemerlang matrikulasi mempunyai peluang yang sama.

Wallahua'alam. Sekian.


Copyright © 1997 SEKOLAH ISLAM HIDAYAH. All rights reserved