Part 1
NASIHAT UNTUK PELAJAR TINGKATAN 4 (Bahagian 1)
[ Part 1 | Part 2 | Part 3 | Part 4 | Ulasan 1 | ]

Oleh Hj Samsudin Abdullah
Pesyarah Kanan Matematik

Assalamua'alaikumw.w.

KEPENTINGAN TINGKATAN IV

Dalam alam pendidikan peperiksaan atau ujian yang kemudian sentiasa lebih penting daripada yang terdahulu. Misalnya PMR lebih penting daripada UPSR dan SPM lebih penting daripada PMR.

Disebabkan SPM merupakan peperiksaan terakhir peringkat sekolah, peperiksaan ini menjadi penentu kemasukan ke matrikulasi atau IPT. Keputusan SPM juga penting untuk memohon pekerjaan. Ini menjadikan peperiksaan ini sangat penting.

Kecemerlangan SPM memerlukan usaha bersungguh-sungguh dan berterusan bermula Tingkatan IV kerana soalan SPM termasuk bahan Tingkatan IV dan pelajaran Tingkatan IV merupakan asas pelajaran Tingkatan V. Sebarang kelemahan pada peringkat awal ini mungkin akan menjejaskan prestasi semasa Tingkatan V dan seterusnya SPM.

Dengan ini peringkat Tingkatan IV bukanlah peringkat berehat atau peringkat untuk lebih aktif dalam aktiviti lain. Lupakan PMR -- sama ada anda mendapat 9A, 2A atau sebagainya --sebab setelah mendaftar mata pelajaran untuk menghadapi SPM, keputusan PMR itu tidak lagi penting. Mengikut rekod lalu pelajar yang cemerlang SPM menunjukkan prestasi baik pada ujian dan peperiksaan pada semester pertama Tingkatan IV lagi. Jadi ayuh! Bertekadlah dan rancanglah strategi untuk mendapat keputusan cemerlang pada ujian pertama Tingkatan IV ini. Ujian pertama ini lebih penting daripada PMR yang telah dihadapi itu.

Wallahua'alam. Sekian.

Part 2

[ Part 1 | Part 2 | Part 3 | Part 4 | Ulasan 1 | ]

Assalamua'alaikumw.w.

KEPENTINGAN PENUMPUAN

Antara istilah paling penting ke arah kejayaan sesuatu aktiviti ialah "penumpuan". Dalam sukan kita sering mendapati seseorang atlit terkenal kalah di gelanggang walaupun menghadapi lawan yang tidak ternama kerana hilang penumpuan. Dalam pejabat pula, jurutaip akan melakukan banyak kesilapan ejaan jika hilang penumpuan semasa menaip. Dalam solat, "menumpu" ialah "khusyuk". Kita maklum orang yang khusyuk semasa solat dijanjikan berbagai-bagai kelebihan oleh Allah (S.W.T.).

Saban tahun selepas keputusan peperiksaan diumumkan, kita sering membaca cerita pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Didapati kebanyakan pelajar ini menyatakan bahawa antara faktor utama ke arah kecemerlangan ialah memberikan sepenuh penumpuan semasa guru sedang mengajar.

Bagaimanapun, supaya berlaku penumpuan, pelajar perlu meminati mata pelajaran yang diambil. Supaya ini berlaku, ibu bapa atau guru perlulah memberikan bimbingan yang bijaksana semasa anak masing-masing membuat keputusan penting memilih mata pelajaran.

Selain daripada itu, penumpuan juga memerlukan ketekunan. Di sini "ketekunan" bermaksud "sentiasa mengikuti sesuatu pengajaran dalam keadaan bersedia". Istilah "bersedia" ini pula bermaksud "pelajar telah memahami atau menguasai pelajaran terdahulu sebelum mengikuti pelajaran seterusnya". Pelajar yang sentiasa bersedia mungkin akan memahami sesuatu pelajaran 80% hingga 100%. Sebaliknya pelajar yang tidak bersedia mungkin faham tidak lebih daripada 20%. Cara untuk mencapai 100% kefahaman ialah dengan cara belajar dahulu sesuatu pelajaran sebelum diajar guru. Ini boleh dilakukan di rumah dengan bantuan ibu bapa yang berkebolehan.

Kebanyakan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang ialah pelajar yang tekun, bukan pelajar yang pandai. Bagaimapun, pelajar yang mendapat keputusan amat cemerlang sehingga semua mata pelajaran mendapat 1A atau 2A dalam SPM itu tentulah pelajar pandai yang tekun.

Wallahua'alam. Sekian.

Ulasan 1 Tajuk Part 2

[ Part 1 | Part 2 | Part 3 | Part 4 | Ulasan 1 | ]

ULASAN TAJUK KEPENTINGAN PENUMPUAN

Oleh: Prof Madya Dr. Ali Abd Rahman,
Pensyarah Kanan Matematik


Assalamu'alaikum wr wb

Jazakumullahu khairan to Akhi Samsudin atas nasihat yang bernas. Ana setuju sangat dengan noktah-noktah yang disarankan, dan ana nak tambah sikit atau mungkin syarah sikit tentang noktah Akhi, walaupun mungkin kurang bernas.

1. Ana setuju sangat tentang ketekunan dan penumpuan. Ana rasa itulah satu daripada objek pendidikan, iaitu melahirkan individu yang mampu bekerja dengan tekun. Mampu bekerja dalam keadaan tertekan dan tidak tertekan. Apabila tertekan (latihan - peperiksaan) ia tidak patah, apabila tak tertekan iltizam tidak luntur.

2. Ana dapati ramai pelajar Cina mempunyai ciri-ciri ini. Ana namakan golongan ini 'pelajar yang baik'. Pelajar yang baik tidak semestinya 'pandai' ('pandai' mungkin boleh diertikan sebagai pantas menerbitkan pola daripada keadaan-keadaan berbeza). Ana lebih gemar pelajar yang purata dari segi 'kepandaian' tetapi mereka pelajar yang baik.

3. Ciri pelajar yang baik - rajin, tekun, responsif, mula awal/segera, tidak menangguh kerja, kemas (tulisan, percakapan, dsb), tidak mudah jemu, mempunyai jadual bekerja yang baik/praktik/dipraktikkan. Ana tahu bahawa ada pelajar Cina yang sanggup duduk belajar dari jam 7:00 pagi (tanpa berhenti) sehingga 12:00 tengah hari. Kemudian sambung semula jam 1:00 hingga 5:00 petang. Sambung lagi jam 7:00 hingga 12:00 tengah malam. Siapakah antara anak kita yang sanggup duduk begitu dalam keadaan menelaah pelajaran?

4. Menelaah sejurus selepas bahan diajar guru akan menjimatkan masa pelajar. Pelajaran masih segar di ingatan, pelajar hanya perlu meneguhkannya. Jika ditangguh, pelajar kena belajar dua kali. Di UTM, pelajar yang baik akan menggunakan masa antara dua kuliah berturutan untuk terus menerjah ke dalam bahan yang baru diajar pensyarah. Kita lihat pelajar demikian duduk di serambi atau di bawah tangga menghadapi pelajaran, kerana tidak ingin membuang masa yang berharga.

5. Seperti yang ana sebut bukan pengetahuan sahaja yang berguna, tetapi proses membina pengetahuan dalam diri seseorang itu tidak kurang pentingnya. Seseorang pelajar kena 'belajar jadi tekun'. Untuk menjadi tekun itu tidak mudah dan tentunya tidak automatik. Kena latih. Sebab itu, ana percaya Akhi Samsudin bicara tentang pelajar Tingkatan IV. Dua tahun yang diurus dengan baik boleh mendatangkan hasil yang lumayan (bukan sahaja dari segi pencapaian peperiksaan, tetapi mutu individu.) Orang yang tidak tekun tidak boleh diharap untuk menjuarai budaya ilmu, kalaupun mereka berjaya dalam kerjaya. Mudah dapat mudah lesap.

6. Satu sebab lain yang ana rasa Akhi Samsudin pilih pelajar Tingkatan 4 ialah mereka telah cukup matang, berbanding Tingkatan 1-3. Tugas ibu bapa mungkin membantu mengurus mengurus masa. Ada mata pelajaran yang memerlukan persiapan yang lama - mata pelajaran bahasa (BA, BM, BI), Kesenian, Matematik. Tidak ada jalan pintas untuk mata pelajaran ini. Usaha tekun yang bertumpuk-tumpuk/bertahap-tahap diperlukan dari awal lagi. Ibu bapa yang mendapati anak mereka lemah dalam m/p ini haruslah memastikan persiapan awal dilakukan - dari bulan Januari Tingkatan 4 lagi. Pada awal tahun di Tingkatan 5 pelajar seharusnya berada pada tahap keyakinan ('firm footing') yang tinggi dalam m/p yang disebutkan. Ia harus berada dalam keadaan meluncur ('cruising gear') pada masa itu. Ia akan berasa cukup selesa untuk menumpukan pada m/p lain secara serius.

7. Ada orang kata pendidikan kita bukan untuk peperiksaan. Ana setuju sangat. Pendidikan merangkum bidang yang sangat luas, seluas fakulti keupayaan manusia ciptaan Tuhan Maha Pencipta. Pelajar perlu mengejar kemajuan dalam semua aspek pendidikan, bukan sahaja yang berorientasikan peperiksaan. Tetapi dalam sistem yang berorientasikan peperisaan juga, terdapat kaedah pentarbiayahan yang jitu untuk melahirkan individu berdisiplin dan kental yang bakal menyahut cabaran yang semakin hebat.

8. Dalam noktah terakhir, ana ingin melahirkan semula kebimbangan kolektif ramai orang. Ana nampak ia berlaku di UTM. Ana pandang-pandang, rupanya ia sudah menjadi satu trend yang merisaukan. Nisbah pelajar lelaki-perempuan kita sangat tinggi, dan lebih signifikan tingginya di kalangan pelajar Melayu-Islam. Ini satu isu yang patut dipandang serius. Hendakkah kita melihat pimpinan generasi masa depan yang didominasikan wanita dengan peranan lelaki menjadi marginal?

Pelajar lelaki sukar sedikit menumpu daripada pelajar perempuan. Ia terdedah kepada gangguan, tarikan dan pikatan luaran. Apabila ia 'mengenal kebebasan' dalam usia remaja ia akan lebih cenderung mengeksperimen dengan pelbagai benda. Misalnya, belikan sebuah motosikal, panjanglah langkahnya. Betul, ia sebahagian daripada pendidikan, tetapi latihan dalam ketekunan dan penumpuan itu mudah sekali diabaikan.

Ali Abd Rahman

Part 3

[ Part 1 | Part 2 | Part 3 | Part 4 | Ulasan 1 | ]

Assalamua'alaikumw.w.

KEPENTINGAN MOTIVASI DALAMAN

Berikut ialah sebuah cerita dongeng yang diriwayatkan oleh seorang teman: Pada zaman dahulu ada seorang raja yang berhampiran istananya mengalir sebuah sungai. Pada suatu hari dia membuat pengumuman. "Sesiapa yang berjaya berenang ke seberang akan dikahwinkan dengan puteri beta."Tiba-tiba seorang pemuda menolak rakannya seorang pemuda lain jatuh ke sungai itu. Pemuda tersebut berenang dengan pantas sehingga tiba di seberang.

Selepas kejayaannya pemuda tersebut tidaklah berjumpa raja untuk menuntut janji baginda sebaliknya mencari siapa yang telah menolaknya ke dalam sungai.

Pemuda itu berjaya bukanlah kerana dimotivasikan keinginan berkahwin dengan puteri raja tetapi kerana menyelamatkan diri daripada buaya yang ada di dalam sungai itu. Ikhtiar secara berhempas-pulas kerana survival adalah motivasi dalaman sedangkan tawaran perkahwinan dengan puteri merupakan contoh motivasi luaran. [Saya fikir faktor survival ini ada kaitan dengan ketekunan setengah-setengah pelajar bukan Bumiputera berbanding pelajar Bumiputera.]

Motivasi dalaman jauh lebih besar kesannya berbanding motivasi luaran. Selain survival, perjuangan kerana agama, keluarga, keturunan, tanah air dan bangsa adalah contoh lain motivasi dalaman. Mengikut sejarah, banyak peperangan atau perjuangan besar yang berlaku kerana faktor dalaman ini. Janji yang sering dibuat ibu bapa seperti memberikan hadiah motosikal atau komputer sekadar motivasi luaran. [Saya berpendapat hadiah berbentuk kebendaan ini boleh diberikan selepas anak berjaya tanpa perlu dijanjikan terlebih dahulu. Cuma berhati-hati jangan sampai anak menganggap ilmu yang telah didapati hanya setaraf barang-barang ini.]

Kebanyakan pelajar Tingkatan IV termasuk golongan remaja awal dewasa yang mula sedar akan tanggungjawab terhadap diri dan keluarga. Bergantunglah kepada ibu bapa untuk mengambil peluang keemasan ini bagi membina motivasi dalaman yang mantap dan bertahan lama dalam diri anak masing-masing supaya mereka menjadi pelajar yang tekun serta terus-menerus istiqamah dalam mencari ilmu pengetahuan.

Wallahua'alam. Sekian.

Part 4

[ Part 1 | Part 2 | Part 3 | Part 4 | Ulasan 1 | ]

Assalamua'alaikumw.w.

CARA BELAJAR MATEMATIK TAMBAHAN

Empat langkah berikut perlu diikuti untuk mendapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Matematik Tambahan.

(i) Fahamkan Konsep

Konsep bermakna maksud dan perbezaan maksud antara setiap istilah dan simbol utama yang digunakan dalam sesuatu tajuk. Segala istilah dan simbol itu mestilah difahami dengan sebenar-benarnya. Misalnya, dalam tajuk Fungsi, antara istilah utama ialah "hubungan", "fungsi", "domain", kodomain", "fungsi gubahan" dan "songsangan fungsi". Contoh perbezaan maksud simbol pula ialah perbezaan antara simbol "f" dengan "f(x)".

(ii) Fahamkan Kaedah Pengiraan

Setelah memahami konsep, fahamkan setiap kaedah pengiraan seperti dalam contoh yang diajar guru atau daripada buku teks.

(iii) Membuat Latihan

Setelah memahami konsep dan memahami kaedah pengiraan, buatlah setiap soalan latihan seperti yang diminta guru dengan segera dan kemas. Aktiviti latihan merupakan aktiviti pengukuhan dalam pembelajaran. Langkah melambatkan atau menangguhkan latihan akan menyebabkan kita terlupa segala konsep dan kaedah pengiraan yang telah dilakukan dalam dua langkah pertama di atas.

(iv) Menyemak Latihan

Setiap latihan yang telah dibuat mestilah disemak untuk memastikan kaedah menjawab yang dilakukan adalah betul. Penyemakan hendaklah dilakukan dua peringkat. Penyemakan peringkat pertama hendaklah dilakukan sendiri oleh pelajar sebelum dihantar kepada guru. Penyemakan peringkat kedua dilakukan oleh guru atau sesiapa yang berkelayakan.

Wallahua'alam. Sekian.


Copyright © 1997 SEKOLAH ISLAM HIDAYAH. All rights reserved