Akhlak anak cermin ibu bapa beriman

Oleh Azlina Roszy Mohd Ghaffar

ANAK adalah permata hati bagi ibu bapanya. Kehadiran anak adalah penyeri dalam kehidupan sepasang insan yang bergelar suami isteri.

Justeru, orang Melayu mengungkapkan anak sebagai 'cahaya mata' yang tentu melambangkan kekudusan perasaan dan ikatan jiwa antara ibu bapa dan anaknya. Kelahiran cahaya mata sulung, biasanya ditatang dengan penuh belaian kasih sayang dan perhatian yang tidak berbelah bahagi.

Kenakalan anak biasanya menjadi sumber kemarahan ibu bapa. Anak yang masih kecil tidak berdosa, kadang kala menjadi tempat melepaskan geram selepas seharian keletihan mengemaskan rumah atau sibuk di pejabat.

Hadis Rasulullah saw bermaksud: "Setiap anak dilahirkan atas fitrah, terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorakkannya sama ada menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani."

Hadis ini jelas meletakkan tanggungjawab mendidik anak pada bahu ibu bapa dan bukannya datuk, nenek, saudara mara atau guru.

Dengan ini ibu bapa tidak boleh lepas tangan menyerahkan pendidikan akhlak atau hal mendisiplinkan anak kepada pembantu rumah, pengasuh atau guru saja.

Sementara itu, pepatah Melayu berbunyi `melentur buluh biarlah dari rebung' patut dijadikan amalan.

Pendidikan dan pembentukan keperibadian anak hendaknya bermula dari kecil lagi. Ini mesti dilakukan oleh ibu dan bapa.

Bagaimana mendidik anak supaya menjadi seorang berakhlak mulia, penyantun serta berbudi bahasa dalam usia anak yang masih mentah.

Pertama, ibu bapa perlu berusaha untuk memenuhi hak asasi anak seperti yang digariskan oleh Islam. Prof Abdul Rahim Omran berkata ada 10 hak asasi seorang anak iaitu;

  • Hak untuk hidup.

  • Hak untuk mempunyai genetik sahih (anak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang sah pernikahannya).

  • Hak untuk mempunyai nama baik.

  • Hak untuk mendapat belaian kasih sayang, perlindungan dan penyusuan ibu.

  • Hak untuk mendapat tempat tidur berasingan.

  • Hak untuk mendapat pendidikan dan ilmu pengetahuan.

  • Hak untuk dibesarkan di dalam suasana Islam.

  • Hak untuk mendapatkan setiap sesuatu yang dibelanjakan baginya dari sumber halal.

  • Hak untuk mempelajari kemahiran hidup dan pertahanan diri.

  • Hak untuk mendapat layanan saksama tanpa mengira jantina.
Jika diteliti dengan halus, apa yang digariskan oleh Prof Omran mencakupi keperluan fizikal, mental, emosi dan rohani mahupun maruah diri seseorang.

Hak pertama dan kedua yang digariskan di atas menuntut agar pemuda dan pemudi Islam tidak berzina sehingga menyebabkan lahirnya anak luar nikah.

Anak yang dikurniakan Allah kepada ibu bapa adalah amanah yang memerlukan tanggungjawab besar.

Anak bukanlah hak milik mutlak ibu bapa sehingga ada yang sanggup memperlakukannya sesuka hati seperti sumbang mahram, haruan makan anak atau ibu yang sanggup melacurkan anaknya demi mengejar kemewahan hidup.

Ketika ini, kita kerap dikejutkan dengan kes pelajar terbabit dengan pelbagai kegiatan jenayah daripada mencuri dan mengugut hingga kepada merogol dan membunuh.

Kes ini menyayat hati kita sebagai masyarakat prihatin dan penyayang. Persoalannya ke manakah perginya ibu bapa kanak-kanak ini? Kebanyakan anak yang dibesarkan tanpa kasih sayang secukupnya akan mudah terbabit dengan gejala yang merosakkan akhlak.

Kasih sayang berlebihan juga boleh menyebabkan anak menjadi buta, lantas tidak tahu membezakan antara yang baik dan buruk lantaran kehendaknya tidak pernah dibantah atau tindakannya tidak diambil peduli.

Masyarakat sering kali menyalahkan ibu bapa sekiranya berlaku perkara sedemikian.

Si bapa pula akan menyalahkan ibu yang menurutnya bertanggungjawab sepenuhnya mendidik anak-anaknya. Sebenarnya ibu bapa bertanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak.

Sikap saling menyalahkan antara satu sama lain sangat merugikan kerana tidak menyelesaikan apa-apa masalah.

Al-Quran menjelaskan fungsi mendidik anak terletak pada bahu seorang bapa, manakala ibu sebagai pendokong dan penyokong utamanya.

Ini dinyatakan dalam firman-Nya bermaksud: "Dan ketika Lukman berkata kepada anaknya, pada waktu dia memberi pelajaran kepada anaknya : Hai anakku, janganlah kamu menyekutukan Allah, sesungguhnya menyekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman besar." (Surah Lukman, ayat 13)

Di sini, Lukman sebagai seorang bapa, mula mendidik anaknya dengan memperkenalkannya kepada Allah, Pencipta dan Pemilik alam ini.

Seterusnya Lukman (mewakili kaum bapa) mengajarkan anaknya terhadap bahaya syirik dan menasihatkan anaknya mengenai beberapa tata cara akhlak mulia.

Begitulah betapa besarnya tanggungjawab bapa dan ini menunjukkan bapa memang tidak boleh lepas tangan dalam pembinaan sahsiah anak.

Dalam perubahan struktur keluarga pada zaman ini (di mana ibu juga sama-sama mencari nafkah), tugas bapa bukanlah setakat mencari nafkah untuk keluarga semata mata. Mereka perlu berganding bahu sebagai ibu bapa yang berpadu tenaga untuk mengenalkan anak kepada akidah Islam mantap.

Keutuhan akidah inilah yang akan menjamin kemuliaan akhlak remaja Islam.

Dalam hal ini, Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan Anak-anak Di dalam Islam) merakamkan tujuh tanggungjawab pendidikan, iaitu:
  • Tanggungjawab pendidikan keimanan (akidah).

  • Tanggungjawab pendidikan akhlak.

  • Tanggungjawab pendidikan jasmani.

  • Tanggungjawab pendidikan mental.

  • Tanggungjawab pendidikan rohani.

  • Tanggungjawab pendidikan sosial.

  • Tanggungjawab pendidikan seks.
Dalam kesibukan mengejar kehidupan dunia, ibu bapa perlu memastikan tidak ketinggalan menyediakan diri sebagai ibu bapa berktrampilan.

Sebenarnya persiapan ini haruslah bermula sejak seorang lelaki dan wanita itu bercita-cita hendak mendirikan rumah tangga.

Persiapan yang sering ditekankan adalah bersifat fizikal seperti hantaran, mas kahwin, membeli kereta, rumah dan wang simpanan. Tanpa menafikan kepentingan ini, persiapan lebih penting untuk melayari kehidupan berumah tangga ialah dari segi mental dan emosi.

Ramai pemuda dan pemudi Islam yang memasuki alam rumah tangga tanpa persediaan mental dan emosi secukupnya. Ini menyebabkan mereka tidak mampu menghadapi konflik yang timbul. Keadaan itu boleh menyebabkan perkahwinan dan keluarga bahagia yang diidam-idamkan berakhir dengan perceraian atau menyebabkan sebelah pihak mengalami penderitaan emosi dan mental.

Ibu bapa kerap lalai daripada mengingati bahawa sesungguhnya segala tindak tanduk mereka menjadi tontonan dan cermin anak.

Ibu bapa kerap leka bahawa segala tindakan mereka di hadapan anak sebenarnya 'didikan' kepada anak itu sendiri. Ini bermakna tingkah laku ibu bapa yang garang, pemurah dan pemaaf mendidik mereka supaya sikap sedemikian .

Oleh itu, tidak hairan sekiranya anak meniru perkataan yang baik mahupun buruk yang terhambur dari mulut ibu bapa mereka. Ini cabaran besar kepada ibu bapa agar mereka membiasakan diri melatih anak mereka dengan akhlak Islam yang mulia.

Akhirnya, semoga ibu bapa dan pendidik dapat meningkatkan iltizam dalam mendidik cahaya mata masing-masing dengan merenung mafhum hadis Rasulullah saw bermaksud:

"Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap orang yang diberi tanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia sudah memeliharanya atau mensia-siakannya." (Riwayat Ibnu Hibban).


Copyright © 1997 SEKOLAH ISLAM HIDAYAH. All rights reserved