IN
Program korban di SIH meriah

Ahad, 20 April 1997: Program korban sempena Aidil Adha di Sekolah Islam Hidayah (SIH) telah disempurnakan dengan meriah. Program yang menjadi acara tahunan sekolah telah juga dijadikan program keluarga oleh ibu bapa dengan membawa anak-anak mereka bersama menyaksikan bagaimana kerja-kerja penyembelihan dan pembahagian daging dibuat.

Program bermula sehari lebih awal (sabtu) dengan kerja-kerja gotong royong memasak makanan untuk hidangan mereka yang akan hadir. Pada malam minggu, sukarelawan memasak telah dijamu dengan hidangan sup lembu istimewa.

Pada hari Ahad, program bermula pada pukul 7 pagi. Ibu bapa telah datang berduyun-duyun bersama-sama anak masing-masing. Di samping dapat menyaksikan bagai mana ibadah korban disempurnakan, anak-anak juga berpeluang bermain di kawasan sekolah.

Kerja-kerja penyembelihan telah dilakukan oleh Pak Mat, jaga SIH dengan dibantu oleh bapa-bapa dan penduduk kampung yang hadir. Mereka yang hadir juga berpeluang menimba pengalaman melapah dan membahagi-bahagi daging lembu dan kambing yang disembelih.

Sebanyak 4 ekor lembu dan 2 ekor biri-biri telah dikorbankan pada tahun ini. Kesemuanya merupakan bahagian-bahagian korban yang telah disertai oleh ibu-bapa pelajar, guru dan juga pihak pegurusan sekolah. Daging korban telah dibahagi-bahagikan kepada peserta yang hadir dan juga kepada penduduk kampung di sekitar sekolah.

Selepas selesai membahagi-bahagikan daging, para hadirin telah dijamu dengan hidangan baryani. Sambil menjamu selera hadirin juga dapat berkenal-kenalan dengan lebih dekat antara satu sama lain.

Program diakhiri dengan ceramah dari Ust. Hasanuddin dari Pusat Pengajian Islam, UTM. Beliau memperingatkan kepenting korban dalam hidup muslim dan perlunya menyegerakan ibadah haji sebelum terlambat.

IN

Copyright © 1997 SEKOLAH ISLAM HIDAYAH. All rights reserved